Tuesday, November 20, 2007

HIBURKAN DIRIMU DENGAN ZIKIRULLAH

Rawatan psikologi dan penyakit

Firman Allah SWT :
“... Ketahuilah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang...” (ar-Ra’du: 28)

Zikrullah adalah penawar hati, ia memberi ketenangan kepada hati. Nabi SAW bersabda “Dalam jasad anak Adam ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah segala anggota yang lain, jika ia buruk maka buruklah segala anggota yang lain, ia itu adalah hati.”

Hati yang tenang menjadikan kehidupannya tenang. Para pencinta Allah bukannya tidak menghadapi dugaan, malah dugaan yang mereka hadapi amat berat berbanding orang biasa. Namun mereka dapat menghadapinya dengan tenang lantaran jiwa mereka bertaut pada Tuhan, jiwa mereka memancarkan cahaya ketuhanan, jiwa mereka memiliki kekuatan bagaikan gunung yang akarnya terpasak pada bumi, jiwa merekaa memiliki tenaga yang sampai ke langit lantaran zikrullah yang sentiasa pada lisan dan sirrnya.

Syeikh Abdul Qadir Jailani pernah berkata :
“Tiada yang membezakan seorang wali itu dengan manusia lain dari segi amalnya, tetapi yang membezakannya ialah mereka memiliki kekuatan jiwa yang hebat dalam menghadapi segala musibah”.

Karamah yang paling besar ialah istiqamah dengan Tuhannya, redha dan patuh pada ketentuanNya.

Berkata para ‘arifbillah : “Keimanan seseorang bukannya boleh diukur dengan ibadah luaran tetapi lihatlah bagaimana ubudiahnya dalam menghadapi ujian Allah SWT.”

Zikir sebagai Sumber Kekuatan

Manusia mempunyai empat fakulti pada dirinya iaitu ruh, emosi (nafsu), akal dan jasad. Ruh diturunkan ke alam ini dalam jasad yang dicipta dari tanah. Ia dibekalkan dengan nafsu dan akal. Manusia yang hanya hidup untuk kekuatan jasad, akal atau nafsu semata-mata akan tewas dengan segala ujian hidup.
Hidup bagaikan pelayaran di lautan yang luas, penuh dengan badai dan gelombang. Hidup bagaikan mendaki gunung yang tinggi dimana amat mudah untuk tergelincir.
Kekuatan ruh amat perlu untuk mengawal emosi, akal dan jasad. Kekuatan jasad amat terhad, ia mengikut kata hatinya. Kekuatan akal juga terbatas, ada perkara yang boleh digunakan seperti merancang, bijak bertindak tetapi dalam kehidupan banyak berlaku perkara diluar dugaan akal.
Akal menjadi lemah apabila perancangan yang dibuat gagal, seperti menghadapi musibah kematian, kesakitan, perpisahan dan sebagainya. Kekuatan emosi juga tidak kuat jika hati tidak bertaut dengan Tuhan. Manusia akan menjadi kuat jika ia dapat berhubung dengan Allah SWT.
Tetapi bagaimana mahu berhubung denganNya walaupun Ia lebih dekat dari leher halkum seseorang, seperti firmanNya :
“Dan sesungguhnya Kami lebih dekat padanya, lebih dari urat halkumnya.”

Kekuatan ruh berhubung dengan Allah berdasarkan ingatan. Tanpa ingat padaNya, ruh tidak berhubung denganNya. Ramai manusia meninggalkan Tuhan tanpa disedari sedangkan Tuhan tidak pernah meninggalkannya. Apabila ada kesusahan, barulah manusia teringat padaNya, merayu-rayu padaNya, tetapi apabila mereka diberi kesenangan, mereka lupa padaNya.
Kaum sufi memulakan pembinaan manusia dengan kekuatan ruh, bukannya akal atau emosi. Ia membina kekuatan ingatan pada Allah sehingga mendalam perasaanNya terhadap Allah. Ini adalah berdasarkan sunnah Rasulullah SAW dalam membaiki masyarakat Quraisy.
Rasulullah SAW menanamkan kalimah tauhid ke dalam jiwa masyarakat Arab selama 13 tahun .Ibadah awal para sahabat ketika itu adalah zikir. Dengan zikir yang bersungguh-sungguh menyebabkan ruh seseorang itu mempunyai dzauk atau asyik dengan Tuhannya.
Tambatan hamba dengan Tuhan bukan sekadar hafalan sifat-sifatNya semata-mata, tetapi merasa di jiwanya akan kewujudan dan kebesaran Allah sehingga hati mereka gementar apabila disebut nama atau kalimah Allah, airmata mereka menitis apabila mengingatiNya, mereka merasa rindu, cinta sehingga perasaan itu menyebabkan emosi, akal dan jasad turut bersama-sama tenggelam di dalamnya.
Emosi mereka terkawal lantaran takut pada Allah. Mereka tidak menurut kata hati walaupun nafsu meronta-ronta untuk bertindak seperti dengki, dendam, marah dan sebagainya.
Hati yang terikat dengan Allah bagaikan layang- layang yang ada tali, ia juga bagaikan kapal yang ada sauhnya. Akidah adalah tali simpulan. Manusia diberi kebebasan namun kebebasan tersebut mengikut sejauh manakah simpulan tali yang terikat padanya.
Semakin kuat simpulan jiwanya dengan Tuhan, semakin terbatas pergerakan nafsu ammarahnya. Begitulah keadaan cahaya hatinya, semakin jiwanya mendekati cahaya keTuhanan, maka semakin hancurlah segala kekotoran dalam jiwanya.
Zikir dengan Tuhannya menyebabkan ia menjalani kehidupan dengan senyuman, kehidupan menjadi indah, kehidupan menjadi mudah, tiada tekanan walaupun menghadapi pelbagai musibah. Mereka lebih tenang dari lautan, lebih sejuk dari air terjun yang mengalir. Ketenangan yang mereka miliki akan turut dirasai oleh orang yang mendampinginya.

Talqin Zikir

Untuk memperolehi ketenangan pada jiwa, seseorang itu hendaklah sentiasa berzikir. Berzikir perlu dipelajari sebagaimana amal-amal yang lain. Ulama Tasawuf telah menyusun pelbagai kaedah zikir untuk memberi kesan pada jiwa pengamalnya.
Pada pendapat jumhur ulama tasawuf, seseorang yang ingin mencapai ketenangan hati, hendaklah baginya mengambil talqin zikir dari seseorang yang telah memiliki maqam pada jiwanya seperti ketenangan, hati yang hidup dengan Allah, takwa, tawakal, yakin, redha, ikhlas serta memiliki salasilah atau sanad zikirnya sampai kepada Rasulullah SAW.
Ini adalah pegangan kepada seluruh kaum sufi. Ia bagi memastikan keberkatan limpahan rohani Rasulullah SAW tiada putus sampai kepada pengamalnya. Limpahan rohani itulah tenaga yang akan membantu mempercepatkan kesan pada hati.
Dengan menerima zikir dari seseorang Guru, ia akan diajarkan kaedah berzikir yang betul. Tanpa memahami teknik tertentu, tidak akan memberi kesan dengan baik walaupun banyak amalnya kerana ia tidak mencabut umbi punca kejahatan manusia.
Nafsu ammarah adalah punca manusia derita, bukannnya kemiskinan, kesusahan atau lainnya. Ia datang dari hati yang tidak ada cahaya keTuhanan. Mata memerlukan cahaya untuk melihat, Allah memberi matahari kepada insan agar dapat melihat. Hati juga memerlukan cahaya dan cahaya itu akan dicapainya dengan menggilap hatinya dengan zikir.
Sesungguhnya hati memiliki cahaya yang hebat, namun ia tertutup lantaran kemaksiatan zahir dan batin. Ia menjadi buta sehingga tidak dapat melihat alam-alam rahsia. Ia hanya melihat pada zahir perbuatan Allah tetapi tak dapat melihat ke dalam lautan hakikatnya.
Apabila hati digilap dengan zikrullah dengan bersungguh-sungguh, kekotoran jiwa akan terhakis dan hati akan mengeluarkan cahayanya sedikit demi sedikit bermula dari alam malakut, kemudian dari alam jabarut, kemudian alam lahut... dan itulah cahaya Rul Al-Qudsi yang telah makrifat dengan Tuhannya.
Cahaya yang Haq ini akan memusnahkan segala unsur negatif yang berada dalam batin. Kebanyakan manusia hari ini menggunakan cahaya dunia pada hatinya sedang cahaya dunia adalah serendah-rendah cahaya.

Kaedah Zikir

Kaedah zikir begitu banyak disusun oleh para ulama tasawuf. Seseorang yang ingin menerima zikir, terlebih dahulu mesti sempurna fardhu ‘ainnya. Tetapi ada juga para syeikh yang mentalqinkan zikir pada orang yang fasik dan menyuruh mereka mengamalkan zikir ‘Laa ilaha illaLlah’ dengan jumlah tertentu mengikut keadaan seseorang.
Murid bagaikan pesakit, para guru bagaikan doktor. Ubat yang diberi mengikut keadaan pesakit dan pesakit memastikan dirinya istiqamah mengikut peraturan. Guru menanam benih dalam qalbi muridnya, maka muridnya perlu menjaga benih tersebut dengan menyiram, memberi baja dan memelihara dari segala kerosakan agar cahaya itu semakin subur, sehingga akhirnya menjadi pohon yang kuat dan dapat menghasilkan buahnya.
Para ahli sufi adalah pakar dalam bidang pembinaan manusia. Mereka membina manusia bermula dari hati, pembinaan jiwa dibentuk dalam diri dengan zikrullah. Kaedah zikir yang betul bagaikan sabun yang menyuci kotoran pada baju. Ia menghasilkan tenaga zikir yang hebat pada jiwa.
Kaum sufi berzikir dengan mengikut garisan tertentu dan diulangnya berulangkali sehingga terasa kesan pada qalbinya seperti panas atau pedih. Ia adalah mengambil hukum fizik iaitu melakukan gerakan atau geseran ulang alik pada tempat yang sama dalam menghasilkan tenaga elektrik .Tenaga yang diperolehi diqasadkan untuk penyucian ammarahnya.
Nafsu ammarah menyebabkan manusia tiada ketenangan. Apabila tertanggalnya nafsu ammarah pada jiwa, seseorang itu bagaikan dilahirkan kembali. Ia mempunyai pandangan dan perasaan kehidupan yang berlainan walaupun jasadnya sama.

Sesungguhnya kebahagiaan itu ada di dalam diri, ia bagaikan mutiara di dalam lautan. Hati manusia ibarat lautan, semakin dalam ia menyelam, semakin asyik dan terpegun ia memandang keindahannya. Di dalamnya ada mutiara yang begitu mahal dan indah. Tanpa menyelam, manusia hanya dapat melihat pada permukaannya sahaja, mereka hanya merasakan masinnya sedangkan kemanisan di sebalik masin itu tak dapat diperolehi.
Justeru tenggelamkan dirimu dalam lautan mutiara keTuhanan, nescaya anda akan tersenyum dengan kehidupan. Galikannya dengan zikir, pernafasan dan tafakur melalui pimpinan Guru Mursyid.

WaLlahu ‘alam.

No comments: